Nuffnang Ads

Friday, August 30, 2013

[ COMING SOON ] : VIKINGDOM



Filem terbitan KRU Studios ini akan menemui penonton pada 16 September ini.
Apa yang boleh dibanggakan di sini ialah, filem ini adalah sepenuhnya dari hasil kerja anak tempatan dan penggambarannya juga dilakukan di Malaysia 100%.

Filem epik arahan Yusry Abdul Halim ini dikatakan setanding dengan filem antarabangsa walaupun kosnya hanya sekitar RM20 juta berbanding filem-filem Hollywood yang rata-rata menelan kos ratusan juta.
Foto
YUSRY memberi penerangan dalam forum The Art of Vikingdom.

Bukan saja bercita rasa antarabangsa, Vikingdom turut membuktikan anak tempatan juga berupaya dalam mengendalikan sebuah produksi besar membabitkan rekaan set, kesan khas mekap, pakaian dan sebagainya.

Vikingdom menampilkan barisan pelakon yang pernah membintangi filem-filem hebat Hollywood seperti Dominic Purcell yang juga pelakon utama siri TV popular Prison Break, Mission: Impossible II dan Blade; Natasha Malthe (Percy Jackson & the Olympians: The Lightning Thief, This Means War dan Elektra); Conan Stevens ( The Hobbit: An Unexpected Journey dan True Legend); Craig Fairbras (The Bank Job, Cliffhanger) dan John Foo (Tekken dan Universal Soldier: Regenaration).

Baru-baru ini, hasil kerja individu yang terbabit di sebalik tabir pembikinan filem berkenaan dipersembahkan dalam forum The Art of Vikingdon anjuran KRU Studios dan TGV Cinemas di Petaling Jaya.

Produser Vikingdom, Norman Abdul Halim berkata, penayangan The Art of Vikingdom adalah penting bagi berkongsi pengalaman dan ilmu di sebalik pembikinan filem buatan Malaysia untuk pasaran global ini oleh tenaga kerja penerbitan rakyat Malaysia di sebalik lakonan pelakon-pelakon dari Hollywood.

“Saya gelarkan mereka yang terbabit ini sebagai ‘unsung heroes’ atau wira-wira yang tidak didendangkan kerana biasanya sesudah tamat sesebuah filem, penonton akan terus balik serta jarang melihat barisan nama orang kuat produksi yang dipaparkan dalam skrin pawagam.

“Sebenarnya tanpa mereka ini maka tidak akan sempurnalah pembikinan sebuah filem, begitu juga naskhah Vikingdom yang sudah lama ada dalam simpanan kami. Justeru, forum ini adalah untuk memperkenalkan mereka, sekali gus memaparkan proses dari mula proses membina rekaan set, kostum, prop dan solekan kesan khas untuk kita wujudkan era ‘Viking’ ke layar perak,” katanya.

Selain Norman dan Yusry, turut hadir pada majlis berkenaan ialah individu penting di sebalik pembikinan Vikingdom seperti Tommy Mansur selaku Pereka Produksi, Monica Lee (Pereka Solekan Kesan Khas), Rosada Abdul Hamid (Pereka Kostum), serta tiga Pengarah Seni iaitu Paul Hasham, David Tang dan Sherwin Nunis.

Ia dirasmikan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Afendi Hamdan.

Norman berkata, tekanan yang dihadapinya dalam menghasilkan filem bermutu ialah kekangan bajet.

“Jika di Hollywood mereka boleh melabur ratusan juta untuk menghasilkan sebuah filem epik, sebaliknya kita harus menggunakan kreativiti dalam kemudahan yang terbatas,” katanya.

Dalam pada itu, selaku pengarah Yusry enggan filemnya dibandingkan dengan mana-mana filem epik sedia ada.

“Filem ini tidak boleh disamakan dengan mana-mana filem epik atau sejarah yang benar-benar berlaku. Setiap watak dalam filem ini adalah mengikut skrip asal dan diubah suai mengikut apa yang saya fikirkan sesuai,” katanya.

Jelasnya, beberapa watak dalam filem ini seperti Thor yang diambil dari komik Marvel juga mempunyai karakter berbeza.

“Biasanya Thor adalah adiwira yang baik dan berambut kuning tapi dalam cerita ini saya jadikan dia berwatak antagonis dan berambut merah, tidak seperti cerita biasa. Apabila membabitkan pembikinan filem yang dihasilkan bukan berdasarkan fakta sejarah, pengarah bebas untuk berimaginasi,” katanya.

Yusry berkata, pihaknya melakukan perancangan teliti untuk menghasilkan filem ini dan ia terbukti dengan tempoh penggambaran yang memakan masa lebih dua bulan dan setahun untuk proses suntingan.

“Itu tidak termasuk proses rujukan dan membangunkan skrip kerana idea untuk menghasilkan filem ini sudah berada dalam simpanan kami sebelum menghasilkan filem Hikayat Merong Mahawangsa lagi.

Vikingdom berlatarkan zaman pertarungan besi yang membawa pertembungan antara sejarah dan mitos. Filem berkonsepkan aksi pengembaraan yang memaparkan elemen sejarah serta mitos Viking itu dikukuhkan dengan aksi pertarungan serta garapan Teknik Janaan Komputer (CGI) yang menunjukkan keadaan sebenar di zaman itu.

Pembikinannya juga memiliki persamaan dengan filem 300 di mana penggambaran dilakukan di dalam studio pentas bunyi dengan kegunaan teknik CGI bagi menghidupkan suasana ‘surreal’ bagi filem aksi ini.

“Kami tidak punya bajet besar untuk menerbangkan warga produksi ke luar negara. Justeru, kami memutuskan penggambaran dilakukan 100 peratus di Malaysia dan cabaran utama ialah mencari kawasan yang hampir sama dengan luar negara.

“Bagaimanapun, akhirnya kami menjumpai kawasan bukit di Puncak Alam, Selangor. Namun, sepanjang 10 hari penggambaran dilakukan di situ suasana sungguh terik dan sedikit sebanyak mengganggu sedikit mental dan fizikal pelakon kami termasuk juga warga produksi.

“Selain itu kami juga melakukan penggambaran di Gua Tempurung, Kellie’s Castle di Perak serta di Filem Negara,” katanya.

Kellie's Castle, Perak
Yusry berkata, filem ini adalah sebagai percubaan KRU Studios memasuki pasaran luar negara.

“Kami cuba buat filem yang lebih umum dan boleh diterima semua kaum dan bukan hanya terbatas dalam kalangan penonton Melayu saja.

“Ini juga salah satu langkah untuk menembusi pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kebanyakan negara luar mahu filem menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.

Vikingdom akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 16 September depan manakala di Amerika Syarikat ia akan dilancarkan pada 4 Oktober oleh Epic Pictures.

Selain itu, pihak Universal Pictures juga bersetuju untuk mengedarkan filem ini ke United Kingdom, Australia, New Zealand dan negara-negara Scandinavia.

- sumber dari Harian Metro

No comments:

Post a Comment